Lelaki Terjun Sungai Kelantan, Saksi Ceritakan Detik Cemas Sebelum Lelaki Ini Terjun Dan Hilang

“SAYA mencapai kaki seluarnya, namun terkoyak kerana mangsa terus terjun ke dalam sungai,” kata saksi, Ibrahim Yusof, dalam kejadian lelaki terjun dari Sungai Kelantan di Kota Bharu pada 11.49 pagi hari ini.

Sebelum itu, Ibrahim, 55, yang menunggang motosikal dari rumahnya di Pasir Pekan, dalam perjalanan ke masjid sebelum ternampak mangsa sedang bergelut dengan seorang penunggang motosikal lain.

“Mangsa terlepas dari pegangan lelaki terbabit dan saya memberhentikan motosikal dan bertanyakan lelaki itu apa yang terjadi sebelum diberitahu mangsa ingin terjun ke dalam sungai.

“Saya segera memecut motosikal mengejarnya dan tanpa sempat turun dari motosikal, saya memegang lengannya namun dimarahi mangsa.

“Secara tiba-tiba mangsa terus memanjat penghadang jambatan dan sepantas kilat saya mencapai kaki seluarnya, namun mangsa terus terjun ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Lelaki Terjun Sungai Kelantan, Saksi Ceritakan Detik Cemas Sebelum Lelaki Ini Terjun Dan Hilang

Ibrahim berkata, selepas terjun, dia ternampak buih di permukaan sungai, namun mangsa tidak kelihatan dan terus tenggelam.

Mangsa yang berasal dari Pasir Mas, dan dipercayai menghadapi masalah mental, dikatakan ingin ke Kota Bharu dengan menaiki kenderaan jenis Honda CRV yang dipandu ibunya.

Kenderaan itu berhenti di tepi jalan dan mangsa turun dari tempat duduk penumpang, terus berjalan untuk terjun ke dalam sungai menyebabkan ibunya terpaksa meminta bantuan orang ramai menahan anaknya itu.

Ibu mangsa yang turut berada di lokasi dilihat menangis teresak-esak dan enggan ditemubual.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim tiba untuk operasi mencari dan menyelamat.

Operasi turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu yang menjalankan pencarian di sekitar lokasi jatuh.

Sumber dari Berita Harian