Video polis didakwa tunjuk pistol, tumbuk penjual burger jadi viral.

ANGGOTA polis didakwa menumbuk dan memukul seorang penjual burger, sebelum mengeluarkan pistol dan mengugut untuk melepaskan tembakan.

Video pertengkaran antara seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis, dari Bukit Aman dengan seorang penjual burger tersebar dan tular di media sosial. Kejadian berlaku di Taman Rasah Jaya, Seremban pada 9 Januari 2019.

Difahamkan rakaman video itu diambil selepas anggota polis berkenaan didakwa menumbuk penjual burger berkenaan membawa kepada pergaduhan dan pergelutan antara mereka.

Berdasarkan salinan laporan polis yang turut disebar, seorang lelaki berambut kembang yang mengaku sebagai Pegawai Polis Bukit Aman, bersama seorang lagi lelaki meminta kad pengenalan (IC) penjual burger.

Namun penjual burger itu enggan memberikan kad pengenalan kerana lelaki itu (berpakaian biasa) tidak mahu menunjukkan kad kuasa meskipun berulang kali diminta.

Lelaki itu kemudian terus menumbuk muka penjual burger di bahagian mata sebelah kanan sebelum berlakunya pergelutan dan seorang lagi lelaki didakwa turut memukul penjual burger itu.

Ketika pergelutan cuba dileraikan oleh rakan-rakan penjual burger, anggota polis berbaju kuning telah mengeluarkan pistol kemudian mencekah dan mengacukan ke arah mereka sambil mengugut akan melepaskan tembakan jika sesiapa mengambil sebarang video.

Video yang dimuat naik oleh laman facebook Durian Media itu tular di media sosial, dan telah menerima 283,476 views ketika artikel ini ditulis.

“Dua orang anggota polis dari Bukit Aman bahagian stafoc, salah seorang pegawai tertinggi telah menumbuk dan membelasah peniaga burger tanpa sebab.”

“Pegawai tersebut telah mengacukan pistol dengan membuat ugutan jenayah. Ramai saksi yang melihat kejadian tersebut,” tulis laman itu.

Pegawai polis disiasat

Polis sedang menjalankan siasatan terhadap aduan seorang peniaga burger di Taman Rasah Jaya dekat sini yang mendakwa ditumbuk dan diacukan pistol oleh seorang pegawai polis yang kini tular dalam media sosial.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan bahawa polis telah menerima aduan daripada kedua-dua pihak iaitu pegawai polis berkenaan dan peniaga burger tersebut.

“Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 353 Kanun Keseksaan.

“Kes ini dah lama. Mungkin berlaku salah faham antara pegawai polis dan peniaga tersebut,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis telah menerima laporan daripada peniaga burger berusia 30 tahun itu pada pukul 3.15 pagi, 9 Januari lalu.

Dalam aduan itu, katanya, dua lelaki telah datang ke gerai burger beliau kira-kira pukul 1.30 pagi hari berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

“Dua lelaki itu telah meminta kad pengenalan pengadu untuk diperiksa tetapi tidak diberikan dengan alasan mereka tidak menunjukkan kad kuasa polis.

“Pengadu juga menyatakan salah seorang lelaki itu kemudiannya telah menumbuk mukanya dan berlaku pergelutan antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hock Poh berharap orang ramai tidak perlu tular kes itu di media sosial kerana siasatan secara adil telah dimulakan sejak 9 Januari lalu terhadap kedua-dua pihak berkenaan.

Di bawah ini rakaman video berkenaan sila klik untuk menonton.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh berkata ini kerana kes berkenaan kini dalam siasatan.

“Orang ramai tidak perlu tularkan kes ini kerana siasatan secara adil telah dimulakan sejak 9 Jan lepas terhadap kedua-dua pihak ini dan kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tular sebuah video di media sosial hari ini yang mendakwa dua anggota polis daripada Bukit Aman bertindak mengasari seorang peniaga burger di Taman Rasah Jaya di sini.

Mengulas lanjut, Thiew berkata polis telah menerima laporan polis daripada pada 9 Jan lepas daripada pengadu.

Sumber dari BeritaPanas